JAKARTA, INDONESIA, Jumaat, 14 Jamadilakhir 1447 / 5 Disember 2025 – Audit Review Meeting berkaitan dengan ASOSAI Capacity Development Program on “Dealing with Fraud and Corruption in Auditing” in 2024 – 2025 yang diadakan di Sheraton Grand Jakarta Gandaria City Hotel, Jakarta, Indonesia dari 1 hingga 5 Disember 2025 telah dihadiri oleh wakil-wakil dari 20 negara ahli ASOSAI dan juga turut dihadiri oleh enam (6) orang pakar sumber dari Supreme Audit Institution (SAI) Bhutan (Royal Audit Authority), SAI Indonesia (Badan Pemeriksa Keuangan Republik Indonesia), SAI Malaysia (Jabatan Audit Negara Malaysia), SAI Nepal (Office of the Auditor General), SAI Thailand (State Audit Office of the Kingdom of Thailand) dan SAI Turkiye (Turkish Court of Accounts). Delegasi dari Jabatan Audit Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Dayang Dina Afida binti Haji Ahmad, Juruaudit Kanan.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh wakil dari Board of Audit of Japan (SAI Japan) selaku Capacity Development Administrator of ASOSAI, ini merupakan kesinambungan daripada Sub-regional Audit Planning Meeting berkaitan dengan ASOSAI Capacity Development Program on “Dealing with Fraud and Corruption in Auditing” in 2024 – 2025 yang telah berlangsung di Malé, Maldives yang mana mesyuarat ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman, bertukar pandangan, dan memperkukuh kerjasama dalam pelaksanaan inisiatif pembangunan kapasiti di bawah rangka kerja ASOSAI Capacity Development Program.
Objektif utama mesyuarat ini adalah untuk membincangkan dan mendapatkan input hasil daripada perkongsian penemuan audit sebenar atau kajian kes oleh setiap SAI dan juga untuk mengenal pasti cabaran, amalan terbaik, serta isu-isu berkaitan isyarat amaran (red flags), penipuan (fraud) dan rasuah (corruption) dalam pendekatan audit yang telah dilaksanakan.
Perbincangan sepanjang mesyuarat merangkumi pelbagai aspek kitaran audit, daripada perancangan hingga pelaporan. Beberapa kelemahan utama telah dikenal pasti, termasuk perancangan audit yang tidak lengkap, pengenalpastian risiko yang lemah dan penggunaan prosedur audit yang terhad. Sesi perkongsian cabaran dalam pelaporan turut diadakan yang memfokuskan kepada isu-isu seperti pengumpulan bukti, penulisan laporan, penstrukturan analisis dan pengurusan kualiti.
Sebagai komitmen berterusan, Jabatan Audit Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong inisiatif ASOSAI melalui penglibatan aktif dalam program pembangunan kapasiti. Mesyuarat diakhiri dengan upacara penutupan rasmi dan penyerahan sijil penyertaan pada 5 Disember 2025.