JABATAN AUDIT, Isnin, 1 Rejab 1447 / 22 Disember 2025 – Mesyuarat Ketiga Projek Penyelidikan ASOSAI Ke-14 bertajuk “Leveraging Artificial Intelligence to Enhance Efficiency and Effectiveness in Public Auditing”, yang dianjurkan oleh State Audit Office of the Kingdom of Thailand  (Supreme Audit Institution [SAI] Thailand) selaku Ketua Projek Penyelidikan ASOSAI Kali Ke-14 telah dihadiri oleh 24 negara ahli ASOSAI termasuk Jabatan Audit Negara Brunei Darussalam secara talian pada 22 Disember 2025.

Mesyuarat berkenaan bertujuan untuk merumuskan kemajuan Fasa II projek penyelidikan, yang memberikan tumpuan khusus kepada penyediaan Bab 3 – Landskap Semasa Penggunaan Artificial Intelligence (AI) Oleh Negara Ahli ASOSAI (Chapter 3 – Current Landscape of AI Adoption in ASOSAI Members) dengan mengambilkira cadangan-cadangan dan juga mendapatkan penjelasan dari ahli-ahli Projek Penyelidikan ASOSAI Kali Ke-14 yang lainnya.

Di samping itu, mesyuarat ini turut menampilkan pembentangan khas yang bertajuk “AI in Auditing – 8 Key Highlights from INCOSAI XXV” yang disampaikan oleh SAI Thailand. Dr. Sutthi Suntharanurak, Inspektor General (Regional Audit Office No.1) selaku wakil dari SAI Thailand, telah membentangkan lapan (8) sorotan utama mengenai penggunaan AI dalam pengauditan yang diambil daripada INCOSAI XXV. Sorotan-sorotan ini antara lain merangkumi peralihan kepada tadbir urus pintar (Transition to Intelligent Governance), peranan AI sebagai pembantu dan bukan pengganti Juruaudit (AI as an assistant, not a Subsititute for Auditors), kerangka kerja strategik dan etika (Strategik and Ethical Operatinal Framework) dan juga Hybrid Audit Model, yang mengintegrasikan AI dalam keseluruhan proses audit.

Jabatan Audit Negara Brunei Darussalam sebagai ahli Projek Penyelidikan ASOSAI Kali Ke-14 telah ikut serta menghadiri mesyuarat tersebut melalui sidang video yang diadakan di Jabatan Audit yang diketuai oleh Dayang Hajah Siti Kamariah binti Haji Mohiddin, Pemangku Penolong Kanan Juruaudit Agung serta dua (2) pegawai kanan Jabatan Audit.